KONVENSYEN USAHAWAN ONLINE 2016
30 September - 2 Oktober 2016 (PWTC)


Berita

Share Here

eNTERWIP bantu peniaga dalam talian

02 Februari 2016
Disediakan oleh: Rosmah Dain & Mariatul Qatiah Zakariah
Sumber: Utusan Online

Enterwip bantu peniaga dalam talian

PROGRAM Enterwip adalah inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dalam memberi tumpuan kepada strategi memperkasa ekonomi bumiputera dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Matlamatnya adalah mencari alternatif bagi membantu menjana pendapatan golongan ini dengan cara yang mudah.

Berpaksikan penggunaan modal yang sangat minimum, hampir tiada risiko tetapi mampu menjana pendapatan tanpa batasan, perniagaan secara di dalam talian (online) ini dilihat menjadi penyelesaian kepada masalah mendapatkan lesen dan premis perniagaan dalam kalangan peniaga.

Ini kerana pengusaha dalam talian tidak memerlukan premis dan lesen untuk memulakan perniagaan. Mereka boleh sahaja memulakan perniagaan serta-merta dan menjadi sebahagian daripada komuniti peniaga maya tanpa melibatkan perbelanjaan besar serta hampir tiada risiko.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM), Zainal Rashid, bagi memastikan penglibatan peniaga bumiputera dalam bidang ini lebih teratur dan mendapat pendedahan daripada golongan mahir, peniaga-peniaga ini perlu diberi pendedahan sewajarnya agar mendapat input yang diperlukan untuk berkembang maju.

“Oleh itu, PUIM telah menjalinkan kerjasama dengan kementerian mengaturkan satu seminar Enterwip yang mengumpulkan barisan jurucakap diiktiraf dan berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dalam talian ini.

“Seminar Enterwip yang pertama telah diadakan di Matrade pada 22 September lalu hasil usaha sama antara PUIM dan Kementerian Wilayah Persekutuan. Seminar ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 2,500 peserta,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Zainal lagi, seramai 12 usahawan dalam talian yang berjaya seperti Jamaludin Bahari dalam bidang pengiklanan Facebook; Faisal Abdullah (bisnes online), Azrizam Mansor (blog dan syarikat berkaitan enjin carian - SEO); dan serta Adly Mukhtar (dropship) telah dijemput untuk memberi ceramah sepanjang seminar tahun lalu.

Melihatkan kepada sambutan yang amat menggalakkan, program Enterwip menjanjikan kesinambungannya pada tahun ini dengan penganjuran Program Usahawan Internet (eNTERWIP 2016) pada Jun ini dan akan dibuka kepada lebih kurang 5,000 peserta yang berminat dalam perniagaan online dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Program yang akan diadakan selama dua hari di PICC itu, bakal dipenuhi dengan lebih banyak sub aktiviti seperti online coaching, serta program lanjutan lain dengan sasaran melahirkan 200 usahawan yang boleh menjana sehingga pendapatan RM2,000 sebulan dan 20 usahawan yang bertaraf mentor berpendapatan RM10,000 sebulan.

Dalam pada itu Zainal yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Vidmiil memberitahu, program keusahawanan dalam talian itu bukan sahaja mensasarkan mereka yang telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan, malah golongan yang mahu berjinak-jinak dalam bidang berkenaan.

Lebih 20 speaker yang telah terbukti hebat dalam perniagaan online akan berkongsi pengalaman kejayaan bagi membantu peserta memahami dan menyelami bidang tersebut dengan lebih mendalam.

“Kita akan bantu dari peringkat asas lagi bagi peniaga-peniaga yang ingin mengetahui selok-belok perniagaan menerusi talian. Apa yang penting semua mereka yang berminat perlu mendaftar menjadi ahli PUIM secara online terlebih dahulu agar memudahkan pihak kami memantau dan memberi maklumat kepada semua ahli menerusi talian sekiranya ada yang berkenaan.

“Bidang perniagaan ini membolehkan peniaga bumiputera mempelbagaikan segmen perniagaan mereka mengikut minat dan kreativiti masing-masing.

“Selain itu, perniagaan online ini juga membantu meningkatkan daya saing usahawan bumiputera melalui pendedahan peluang, pengembangan rangkaian (networking) dan peluang pinjaman bank kepada peserta program.

“Peniaga-peniaga ini mempunyai tempat berpaut iaitu melalui PUIM yang merupakan persatuan induk kepada usahawan online seluruh Malaysia. Kami menjaga kebajikan dan kepentingan ahli-ahli.

“PUIM juga menyediakan sesi latihan sebanyak 10 kelas kepada ahli-ahli yang berminat untuk mempelajari selok-belok perniagaan. Selain itu, PUIM juga menyediakan enam kelas secara percuma setiap hari Rabu kepada peserta yang baharu menceburi perniagaan ini. “Kita mengalu-alukan penyertaan orang ramai yang berminat dalam usaha untuk mendapatkan maklumat terbaik daripada mentor yang betul, kos lebih murah dan ilmu yang lebih teratur dan tersusun,” katanya yang boleh dihubungi di talian 016-2214280 atau laman sesawang www.puim.my.

Sementara itu, pada program Enterwip 22 September lalu, peserta didedahkan dengan pelbagai ilmu termasuk bagaimana menjana pendapatan melalui pengiklanan di laman sosial Facebook (FB), Instagram (IG), dan Google.

Selain itu, peserta turut dibimbing tentang cara-cara untuk memohon pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan, membuat pemasaran melalui e-mail, menjenamakan produk secara dalam talian dan sebagainya.

Tiga usahawan dalam talian Saidatul Akma Zakaria, 24, Kamarul Bahareen Kamaruddin, 36, dan Muhamad Azmi Mohd. Don, 41, yang ditemui baru-baru ini menyatakan program Enterwip memberi banyak manfaat kepada usahawan online khususnya yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut.

Selain membantu mereka untuk mengendalikan perniagaan secara dalam talian, turut membantu meningkatkan ekonomi mereka sebagai peniaga dalam talian.

Bagi Saidatul Akma, usahawan online tidak harus melepaskan peluang yang untuk menyertai setiap bengkel atau aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui program Enterwip.

“Kalau ditanya bila saya mulakan perniagaan secara dalam talian ini secara jujur baharu sahaja sekitar Oktober tahun lepas, tetapi sebenarnya bidang perniagaan yang telah lama diceburi semenjak saya berada di sekolah menengah.

“Terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan yang melaksanakan program seperti ini kepada usahawan Bumiputera. Perniagaan merupakan bidang yang amat saya minati dan dalam usaha untuk memantapkan diri, selain menghadiri bengkel serta program yang berkaitan dengan perniagaan, saya juga kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang ekonomi.

“Ternyata program Enterwip yang disertai baru-baru ini banyak memberi ilmu pengetahuan selain membimbing saya mengenai selok belok dalam dunia perniagaan,” ujar Saidatul yang merupakan usahawan e-book.

Bagi Kamarul pula, walaupun dia telah memulakan perniagaan secara dalam talian sejak tahun 2013, tetapi masih lagi dalam proses pembelajaran untuk memantapkan diri.

Disebabkan alasan itulah, dia tidak pernah ketinggalan mengikuti mana-mana bengkel atau program-program yang berkaitan dengan usahawan termasuk program Enterwip.

Katanya, tidak rugi mengikuti program Enterwip yang pertama pada tahun lalu dan akan memastikan tidak ketinggalan untuk mengikuti program seterusnya.

“Melalui program ini, peserta bukan sahaja didedahkan dengan ilmu-ilmu mengenai dunia perniagaan, tetapi juga mengajar kita bagaimana untuk mengembangkan lagi jaringan perniagaan.

“Sudah pasti program Enterwip ini banyak membantu usahawan-usahawan muda seperti saya, malah menjadi platform kepada usahawan baharu untuk menceburi bidang perniagaan ini.

“Ternyata apa yang dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan bersama PUIM ini merupakan satu inisiatif yang baik dan ia sangat bagus terutama kepada peniaga-peniaga baharu,” ujarnya yang merupakan usahawan produk kesihatan.

Begitu juga bagi Muhamad Azmi, yang menyifatkan program Enterwip telah membuka mata lebih luas terhadap dunia perniagaan melalui Internet biarpun sebelum ini dia telah memulakan perniagaan melalui laman sosial Facebook (FB).

Katanya, walaupun terdapat berpendapat mengatakan perniagaan secara online sesukar mana, tetapi individu tersebut perlu juga mempunyai ilmu untuk menguruskan perniagaan secara dalam talian.

“Program Enterwip telah memberi banyak pendedahan terhadap saya tentang peluang-peluang yang boleh diterokai melalui online bukan sekadar di Facebook sahaja.

“Yang pasti sejak saya menyertai program Enterwip pelanggan saya bertambah dari sehari ke sehari dan selepas ini saya akan terus mengikuti latihan-latihan yang diadakan sebagai kesinambungan kepada program tersebut,” katanya sebelum mengakhiri bicara yang juga merupakan seorang usahawan borong.

Video


 

Inisiatif Oleh:

Digerakkan Oleh:

 
 
 

Dengan Kerjasama: